💜 JODOH TERAKHIR 💜
Doa mereka sama. Semoga Allah SWT memelihara jodoh mereka untuk selama-lamanya. Itulah permintaan yang setiap hari SYARIF FIRDAUS dan AINUL MARDHIAH titipkan kepada Ilahi selama tiga tahun usia perkahwinan mereka.
Tiga tahun yang cukup membahagiakan. Tiga tahun yang penuh dengan rasa cinta. Selama tiga tahun itu hidup Ainul benar-benar dilimpahi kasih sayang.
Namun dalam keasyikan menyulam bahagia, hadirnya ujian demi ujian yang berjaya mengoncang kasih sayang tulus antara Syarif dan Ainul.
“Kalau kamu sedar diri bagilah peluang untuk Syarif kahwin lain. Jangan sampai aku yang bawa calon untuk dia. Kalau aku yang bawa calon, sah-sah aku bawa calon yang masih dara dan suci. Karang kamu jugak yang terasa hati.” - NEK SIAH
Kebencian Nek Siah memberi luka cukup dalam pada hati Ainul. Tidaklah Ainul menyangka begitu mudah maruahnya dipijak oleh nenek kesayangan Syarif itu.
Belum pun Ainul mampu bertenang menerima kebencian Nek Siah, jiwanya kian robek dengan layanan Syarif terhadap dirinya. Entah di mana silapnya, kasih sayang Syarif untuk Ainul bagaikan mula relai satu demi satu.
“Kenapa pulak abang kena minta maaf dengan Ainul. Abang dengan Hana bukan buat apa-apa. Abang keluar dengan dia sebab nak jelaskan keadaan nenek. Abang tak nak dia terus salah faham dengan nenek. Tu aje.” - SYARIF
“Abang dah lain sangat-sangat. Abang tak pernah macam ni dengan Ainul. Abang dah berubah…” - AINUL
Berdepan dengan kebencian Nek Siah dan perubahan Syarif, benar-benar buat Ainul hilang punca. Mungkinkah kebahagiaan yang selama ini menjadi miliknya bakal Tuhan ambil semula?
“Aku menyesal kahwin dengan kau Ainul. Aku menyesal tolong perempuan yang dah rosak macam kau ni. Aku tak sepatutnya tolong kau masa dekat jambatan tu dulu. Aku patut biar kau mati aje!” - SYARIF
“Macam mana awak boleh simpan lagi perempuan macam Ainul tu Rif. Kalau saya dekat tempat awak dah lama saya ceraikan dia.” - HANA
Dugaan sebesar gunung yang menghempap dirinya buat Ainul kembali rebah tidak berdaya. Hati menyoal mengapa Tuhan hadirkan cubaan sehebat ini kepada insan lemah sepertinya. Kuatkah dia melepasi semua ujian ini? Tanpa Syarif berada di sampingnya lagi, adakah Ainul akan kembali menjadi insan terasing?
“Pada saat aku kehilangan kepercayaan semua orang, hanya dia yang percayakan aku. Pada saat aku dihina dan dibenci oleh semua orang, hanya dia yang sudi curahkan cintanya kepada aku. Andai semua itu akan terlunas dengan mengorbankan nyawa sendiri, aku sanggup untuk mati demi dia. Aku sanggup…”
💖 💖 💖
Sedang larut Syarif dalam lamunan, tiba-tiba telefon bimbitnya berdering nyaring. Melihat tertera nama SAYANG pada skrin telefon, sebelum menekan butang hijau sempat dia menarik nafas dalam-dalam. Panggilan Ainul dijawab dengan mesra.
“Hello, sayang…”
“Abang… abang tolong Ainul.”
Draf jantung Syarif sekelip mata berubah rentak. Mendengar suara cemas Ainul hampir buat dia hilang punca.
“Kenapa ni, sayang? Ainul okey ke? Kenapa cemas sangat ni.”
“Abang… abang Ainul takut. Tolong datang sini cepat. Tolong Ainul, bang…” Di hujung talian suara Ainul separa berbisik. Cemas, gelisah dan penuh ketakutan nadanya.
“Sayang… jangan buat abang takut. Cerita kat abang apa yang berlaku sebenarnya. Kenapa Ainul takut…”
“Ainul tak boleh cakap lama-lama. Abang buka WhatsApp. Ainul share location. Tolong datang cepat, bang. Ainul merayu…”
“Ainul!” Sayup-sayup di corong telefon itu Syarif terdengar ada suara lain memanggil nama isterinya.
“Ya, nek. Kejap…”
“Cepatlah sikit. Kawan nenek dah lama tunggu kamu tu.”
“Ya, nek. Ainul keluar sekarang.”
Perbualan itu didengari jelas oleh Syarif. Bingung dia saat itu. Ainul ada dengan nenek? Kawan? Kawan nenek? Di mana mereka berada sekarang. Di rumahkah? Atau di mana?
“Ainul… Ainul dekat ma…”
Tut. Tut. Tut. Terputus mengejut panggilan Ainul. Teringat pesanan isterinya tadi, pantas Syarif membuka applikasi WhatsApp.
Melihat apa yang isterinya sampaikan di situ, hampir buat Syarif pitam. Benarkah apa yang sedang dibacanya ini. Nek Siah telah mengajak Ainul bertemu dengan bomoh?
“Ya Allah, nenek!”
💖 💖 💖
DAUN pintu ditolak dari luar. Memandang ke arah katil, jasad kesayangannya berbaring mengiring di situ. Tiada esakan yang kedengaran namun Syarif yakin Ainul sedang menangis. Buktinya tangan wanita itu bergerak naik berulangkali menyentuh pipi.
Pasti sedang terluka benar hati Ainul dek menerima herdikan Syarif tadi. Sungguh Syarif khilaf. Dia cukup berasa bersalah saat ini. Tidak sepatutnya dia meninggikan suara sampai sebegitu sekali. Sepatutnya dia boleh bertanya elok-elok tadi. Ah… benda dah jadi. Sekarang menjadi tanggungjawab Syarif untuk memujuk hati Ainul semula.
“Sayang…” Setiap kali Ainul merajuk atau terasa hati dengannya, beginilah gaya wanita itu. Tidak berpisah bilik. Cukup sekadar melayan kesedihan sambil mengiring membelakangi Syarif. Langsung tidak sudi memandang wajah Syarif lagi.
“Abang minta maaf pasal tadi. Abang bukan sengaja nak marah sayang. Abang… abang cuma terkejut. Tak sangka dalam diam, Ainul dan nenek rancang nak jodohkan abang dengan seseorang. Abang tak sangka…”
Duduk sudah dilabuhkan ke tilam. Perlahan Syarif mengengsot mendekati jasad isterinya. Ringan jari-jemarinya menyentuh bahu Ainul. Merendahkan sedikit badan, dihadiahkan sebuah kucupan pada ubun-ubun wanita kesayangannya itu.
“Janganlah nangis lagi. Abang akan lebih rasa bersalah kalau sayang macam ni.”
Esakan Ainul semakin kedengaran. Mendengar itu, perlahan-lahan Syarif memaksa Ainul memalingkan tubuh. Namun tetap seperti tadi, Ainul berkeras tidak mahu bergerak. Ditepis tangan Syarif.
Nafas terhela panjang dari rongga pernafasan Syarif. Andai sudah begini, akur dia memujuk dengan cara terakhir. Biasanya kalau pujuk cara ini, Ainul akan lebih terpujuk.
“Baik. Abang takkan paksa Ainul berhenti menangis. Sebab abang tahu dengan tangisan tu akan melegakan hati sayang kan.” Berpuput lembut kata-kata itu diluahkan ke cuping telinga Ainul. Tangan kanannya yang masih berfungsi dengan normal itu melingkar kemas ke pinggang Ainul. Dagunya melekap ke bahu Ainul. Didakap erat jasad isteri tercintanya.
“Abang minta maaf. Abang tahu abang dah melampau. Abang sepatutnya tanya Ainul elok-elok tadi. Abang betul-betul terkejut, sayang. Abang tak sangka nenek dah bincang perkara ni dengan Ainul. Kenapa abang orang terakhir yang tahu. Ainul pernah cakap antara kita takkan ada rahsia. Kenapa Ainul tak bagitahu abang awal-awal pasal rancangan nenek ni. Hmm?”
Penuh berhati-hati Syarif meluah kata. Dia bimbang andai Ainul salah faham pada pertanyaannya pula. Hati perempuan bila dah merajuk, kita senyap pun dia cakap kita salah. Apatah lagi kalau kita bersuara, lagilah banyak salahnya.
‘Memang antara kita tak pernah ada rahsia, abang. Tapi kalau hal berkaitan Nek Siah, Ainul takkan pernah sanggup bocorkan apa-apa. Ainul tak sanggup tengok hubungan abang dan nenek renggang disebabkan Ainul.’
Andai saja Ainul mampu meluahkan semua kata-kata itu kepada Syarif. Sayangnya luahan tersebut sekadar mampu didengar oleh jiwanya sendiri.
“Sejak bila nenek bincang hal ni dengan Ainul? Dah lama ke?” soal Syarif tersangat ingin tahu.
Melihat Ainul menggeleng, Syarif berasa sedikit lega. Sekurang-kurangnya tidaklah terlalu lama isterinya telah memendam rasa menahan kecewa dek rancangan gila nenek. Ya. Syarif terpaksa menggunakan istilah itu. Rancangan gila. Nenek tidak sepatutnya merencana rancangan sejauh ini. Bukankah soal anak itu terletak di tangan Tuhan. Mengapa nenek sukar untuk menerima ketentuan tersebut. Hmm…
“Jadi Ainul dah tahu calon yang nenek nak jodohkan dengan abang… Syarifah Hana tu?” soal Syarif lagi cuba memecah kebisuan isterinya.
Perlahan-lahan, tanpa ada yang memaksa Ainul akur memalingkan tubuhnya menghadap Syarif. Dengan linang air mata yang sudah merumbu lebat di pelupuk matanya, ditatap wajah suami tercinta dengan pandangan redup.
“Ainul pun baru tahu tentang Syarifah Hana, abang. Tak sangka dalam diam nenek pertemukan abang dengan dia.”
“Tapi abang ingatkan pertemuan kami sekadar pertemuan biasa. Nenek cakap dia bawa Hana ke restoran sebab nak belanja Hana makan. Tak sangka pulak…” Syarif termati kata. Patutlah Nek Siah beria-ia meninggalkan dia dan Hana berdua. Rupa-rupanya ada udang di sebalik batu. Nenek, nenek… hmm…
“Apa… apa keputusan abang sekarang. Abang setuju?” Cukup payah Ainul bertanya. Terasa mahu ditutup telinganya saat ini. Tidak sanggup untuk dia mendengar jawapan positif dari Syarif.
Kepala pantas Syarif gelengkan. Pipi isterinya diusap lalu dikucup penuh kasih.
“Pada saat semua perempuan yang cuba abang dekati menjauhkan diri dari abang, hanya Ainul yang sanggup menerima abang. Dengan kekurangan diri abang, dengan ketidaksempurnaan abang, hanya Ainul yang sanggup membuka peluang untuk abang mencurah kasih. Kebahagiaan abang semakin lengkap bila kita disatukan, sayang. Bermula dari saat itu, abang dah janji dengan diri abang sendiri. Abang takkan sia-siakan Ainul walau satu detik pun.”
Dahi Ainul dikucupi lagi. Diadu dahinya ke dahi isterinya cukup lama. Ruang yang tercipta antara mereka cukup dekat. Menyapa hela nafas masing-masing menampar muka.
“Cukup mustahil untuk abang izinkan hati abang mencintai wanita selain, sayang. Mustahil untuk abang duakan cinta hati abang ni. Mustahil untuk abang terima dan tunaikan permintaan nenek. Mustahil, sayang. Mustahil…”
💖 💖 💖
“Cantik kan dia?” soal Nek Siah lagi.
Menoleh ke sisi, Syarif pandang Ainul.
“Cantik lagi bidadari Rif ni, nek.”
Ainul senyum dalam diam. Jawapan Syarif hampir buat dia melayang.
Namun tidak bagi Nek Siah. Berdesit dia saat itu. “Toksahlah bagi jawapan klise macam tu, Rif. Loya tekak nenek ni.”
Terlepas tawa Syarif. Dia tergelak lapang.
“Lah dah memang betul. Tak dinafikan Hana tu memang cantik, manis orangnya. Tapi di pandangan mata Rif tetap isteri Rif yang paling cantik, nek. Rif suka pandang Ainul lebih daripada pandang wanita lain. Lagipun pandang muka isteri dapat pahala kan?” Kedengaran cukup jujur jawapan yang diberikan oleh Syarif. Dan ia cukup sampai ke jiwa Ainul. Terima kasih, abang.
Dalam diam Nek Siah mencebik lagi. Huh! Sia-sia dia tanya pasal Hana tadi. Tetap saja Syarif pandang Ainul saja yang cantik. Memanglah Ainul Mardhiah memiliki wajah ayu lagi manis. Air muka Ainul memang lembut dan menenangkan jiwa. Tapi Hana tidak kurang cantiknya. Muka lawa macam model muslimah.
“Nenek tengok Hana macam suka kamu.” Nek Siah terpaksa menukar arah perbualan. Terus masuk ke poin lebih penting. Dia perlu segera lancarkan ‘serangan hendap’.
“Huk huk.” Sedang enak menikmati mihun tomyam, hampir tersedak Syarif mendengar sebaris ayat itu. Melihat suaminya hampir tercekik pantas Ainul menghulur air. Dia juga hampir tercekik sama. Nek Siah cakap apa ni.
“Nenek cakap apa tadi? Hana suka Rif?”
Penuh yakin Nek Siah mengangguk.
“Tengok pada renungan dia bila memandang kamu, percakapan dia dengan kamu… nenek rasa dia dah suka pada kamu.” Tidak rasa bersalah langsung Nek Siah meluahkan kata-kata itu di hadapan Ainul. Jauh sekali mahu menjaga hati Ainul.
Syarif pula yang rasa serba salah dengan Ainul. Dikerling sekilas si isteri di sebelah. Saat pandangan mereka bertaut, Ainul sekadar menghadiahkan senyuman nipis padanya.
“Kalau pun nenek rasa dia macam suka Rif, Rif tak mungkin akan suka dia, nek. Rif dah ada isteri.” Pandangan dialih menatap wajah neneknya. Syarif harap Nek Siah sekadar mahu bersembang kosong mengenai isu ini.
“Apa masalahnya kalau kamu dah ada isteri. Lelaki boleh kahwin empat kan?”
Untuk kali kedua, Syarif terpanar lagi. Sekali lagi dia mengalih renungannya pada Ainul. Anehnya Ainul cukup tenang saat itu. Tidakkah Ainul turut terkejut dengan apa yang Nek Siah ucapkan? Atau mungkin Ainul sedang memendam rasa?
“Kamu cukup tahu apa keinginan terbesar nenek selama ni, Rif. Selama tiga tahun nenek bersabar menanti impian nenek ditunaikan oleh Ainul.” Terhunus tajam renungan Nek Siah pada Ainul.
Ainul masih saja tetap tunduk. Tiada siapa yang tahu saat ini jiwa Ainul sedang perlahan-lahan patah riuk. Akhirnya Nek Siah mengambil jalan paling kejam itu.
Barulah sekarang Ainul faham. Sharifah Nur Hana pasti calon yang mahu dijodohkan dengan Syarif. Sharifah Nur Hana adalah wanita yang selama ini Nek Siah sering sebut-sebutkan. Sungguh licik Nek Siah menggerakkan rancangannya. Kian berketap hebat bibir Ainul menahan rasa.
“Nenek mahukan cicit. Nenek pasang impian nak timang anak kamu dah cukup lama, Rif. Nenek dah tak mampu bersabar lagi. Kalau betul kamu sayangkan nenek, tunaikan impian nenek ni sebelum nenek tutup mata!”
Dang! Berdentum guruh di jiwa Syarif. Setelah sekian lama dia tidak dipaksa, malam ini paksaan itu kembali muncul dari bibir Nek Siah. Sungguh dia tidak menyangka perbincangan sepenting ini akan dibincangkan di ruang makan, di hadapan rezeki.
“Nek… Rif…” Syarif mahu bersuara namun Nek Siah lebih pantas memintas.
“Nenek yakin kamu pun teringin sangat nak ada anak. Kalau dengan berkahwin dengan wanita lain dapat tunaikan impian kita berdua, apa salahnya Rif. Ainul, kamu sendiri cakap dengan nenek kamu setuju kan kalau Syarif kahwin lain.”
Dum! Jasad Ainul terasa seperti dilanggar. Dengan cukup payah wajahnya diangkat menatap wajah serius Nek Siah.
‘Nek… ya Allah sampainya hati nenek perangkap Ainul. Ainul tak pernah setuju!’
“Jadi Ainul dah tahu pasal hal ni?” soal Syarif dengan nada cukup terkejut.
“Sayang?” Syarif kian menekan.
Dengan cukup berat hati, akur untuk Ainul mengiyakan. Sedaya upaya dia menahan tangisannya agar tidak pecah berderai.
“Ainul setuju abang kahwin lain?” Penumbuknya sudah bergumpal.
“Ainul setuju ke?!”
Tengkingan Syarif menyentak jiwa Ainul. Ditatap wajah suaminya dengan linangan air mata yang kian merumbu lebat.
“Kalau… kalau itu dapat buat nenek dan abang gembira… siapa Ainul untuk menghalang.” Bangun dari kerusi, dibawa dirinya masuk ke bilik. Jiwanya telah hancur berkecai.
💖 💖 💖
Selama hampir satu jam jugalah Syarif dan Ainul berada di jambatan yang menjadi saksi kisah cinta mereka bermula itu . Banyak perkara yang diluahkan. Banyak kata-kata pujukan yang Syarif hadiahkan untuk kesayangannya. Dan syukurlah akhir apa yang dia doakan selama ini telah dikabulkan oleh Tuhan.
Malam itu menjadi saksi Ainul Mardhiah merelakan memori duka itu dibawa pergi. Dihanyutkan terus memori itu ke dalam arus sungai. Pergilah wahai kenangan menyakitkan. Dengan berbekalkan cinta Syarif dan paling utama cinta Ilahi untuknya, Insya-Allah Ainul akan lebih cekal mengatur langkahnya selepas ini. Walau apa saja rintangan mahu pun ujian yang hadir, pada Tuhan dia akan bergantung harap seerat-eratnya.
“Terima kasih, abang,” ucap Ainul sebaik saja mereka tiba ke perkarangan rumah. Tali pinggang keledar dilucut. Pandangan Ainul beralih tepat memandang wajah manis milik encik suami.
“Terima kasih untuk?” Tenang Syarif menyoal. Dia ikut menatap wajah kesayangannya.
“Terima kasih untuk segalanya. Khasnya malam ni. Apa yang abang buat dekat jambatan tu. Juga apa yang abang sediakan untuk Ainul di restoran. Ainul tak jangkakan semua ni. Ainul terharu. Ainul gembira sangat.”
Ainul fikirkan setelah selesai urusan mereka di jambatan itu, Syarif akan membawanya pulang. Rupa-rupanya Ainul silap menilai. Syarif terlebih romantik pula kali ini. Satu perkara yang jarang-jarang lelaki itu lakukan untuk Ainul iaitu dibawanya Ainul makan malam istimewa candle light dinner di sebuah restoran mewah. Kata Syarif, maaf kerana terlambat membawa Ainul menikmati makan malam istimewa seperti malam ini. Idea romantik ini muncul dari otak geliga Abu, orang kanannya itu.
Sewaktu enak menjamu selera, seperti dalam sebuah novel cinta, muncul pula nyanyian dan petikan gitar akustik dari penyanyi yang sudah dibayar untuk menjayakan sekali malam istimewa itu. Tidak cukup dengan itu, Syarif bertindak persis seorang hero melutut menghadiahkan sebentuk cincin dan seutas rantai untuk wanita kesayangannya, Ainul Mardhiah.
“Macam-macam abang buat surprise untuk Ainul malam ni. Tapi Ainul tak bagi apa-apa pun dekat abang. Hmm…” Sejujurnya bukan Ainul tak nak bagi. Hadiah itu sudah ada tapi melihat hadiah Syarif lagi mantap dari hadiah kecilnya, Ainul berasa nak mencari hadiah lain. Tak jadi nak bagi hadiah biasa-biasa tu pada suaminya tepat jam 12 malam nanti.
Syarif capai tangan Ainul. Dia menggeleng kecil. Wajah kesayangannya tidak lepas dipandang.
“Ainul tak perlu bagi abang apa-apa. Abang buat semua tu bukan untuk minta balasan. Abang buat semata-mata untuk bahagiakan Ainul, gembirakan Ainul. Tapi sebenarnya bila sayang sanggup untuk lepaskan kisah silam sayang tu, itu sudah cukup buat abang rasa segala yang abang buat malam ni dah terbalas.”
Anak mata mereka saling bertaut dalam. Ainul kekal dengan senyuman begitu juga dengan Syarif. Betapa indahnya malam ini terasa.
“Dahlah jom kita masuk. Abang nak mandi, nak rehat. Kalau Ainul tak kisah tolong picit abang ya malam ni. Belakang ni rasa segal-segal pulak.” Sengaja Syarif mahu bermanja. Manalah tahu dapat lebih daripada sekadar picit-picit. Nakal Syarif tersengih.
“Ya ke nak minta picit je. Jangan minta lebih dari tu ya.” Ainul ikut melayan. Serentak mereka keluar dari kereta Perodua Bezza milik Syarif. Langkah diatur seiring menuju ke pintu masuk.
“Memang nak minta picit je. Tapi kalau sayang nak bagi lebih pun takpe. Abang on je.”
“Eee, jangan gatallah.” Dicubit lengan suaminya sambil menahan tawa.
Syarif hanya tergelak redha menerima cubitan berbisa itu. Sakit memang sakit tapi tetap dia nak menyakat lagi. Hatinya cukup gembira malam ini. Segala-galanya dipermudahkan oleh Ilahi. Doanya selama ini sudah direstui oleh Dia. Mana mungkin Syarif mahu berduka pada malam ini. Kena cubit pun kena cubitlah.
“Amboi seronok nampak. Dari dalam sini lagi nenek dengar kamu berdua tergelak-gelak.” Suara Nek Siah menyambut kedua-dua mereka sebaik saja kaki menjejak pintu masuk.
“Assalamualaikum, nek. Belum tidur lagi ke?” Syarif menegur mesra. Ainul pula hanya tersenyum berada di samping suaminya.
“Waalaikumussalam. Mana boleh tidur. Nenek tunggu berita terhangat dari cucu nenek. Naklah tahu apa yang kamu buat tadi. Pergi mana, makan dekat mana.” Nek Siah ukir senyuman mekar. Dia bangun dari sofa lalu mencapai tangan Ainul.
“Jom, sayang. Teman nenek ke dapur. Banyak soalan nenek nak tanya ni,” ujar Nek Siah seraya pantas menarik Ainul mengikutnya. Langsung tidak menunggu kata setuju daripada Syarif.
“Jangan lama-lama, nek. Rif ada projek istimewa dengan isteri Rif malam ni.” Sempat Syarif mengusik.
Ainul berpaling dan menjegilkan mata. Tak berkenan sungguh bila suaminya bergurau bab-bab macam tu.
Nek Siah pula hanya tergelak saja. Dia membalas selamba.
“Yalah nenek pinjam kejap aje isteri Rif ni. Nanti nenek pos dia naik ke atas semula. Pergilah bersiap apa yang patut. Sibuk aje dia tu. Kita nak sembang dengan cucu kita yang sorang ni pun tak senang.” Becok sekali mulut Nek Siah bersuara sambil menoleh ke belakang.
Yakin kelibat Syarif sudah tiada. Yakin dia mendengar daun pintu bilik telah ditutup oleh Syarif dari tingkat atas, terlucut terus pegangan tangannya yang sejak tadi memegang tangan Ainul. Arahan keras tak semena-mena keluar dari bibir.
“Duduk.” Tegas Nek Siah menyuruh.
Senyuman Ainul yang sejak tadi mekar terus melayu sedikit demi sedikit. Hati dipujuk untuk berbaik sangka. Ainul cuba ukir senyum manis.
“Pergi mana tadi dengan Syarif?” Menyapa dingin soalan itu ke gegendang telinga Ainul.
“Pergi makan-makan, nek. Syarif bawa Ainul pergi makan malam.” Masih lagi Ainul berusaha kekalkan senyuman.
“Dekat mana? Hotel? Restoran mewah?”
“Restoran, nek.”
“Layak ke kamu dapat layanan macam tu.”
Dang! Jantung Ainul terasa terhenti sesaat. Oh Tuhan, jangan biarkan Nek Siah memulakannya lagi sekali. Bukan malam ini. Tolong ya Allah…
“Tak payah jawab soalan nenek tu sebab nenek dah ada jawapan. Kamu tak layak pun dapat layanan istimewa macam tu sebab kamu tak pernah bagi kebahagiaan hakiki untuk cucu nenek.”
Kebahagiaan hakiki yang Nek Siah maksudkan cukup Ainul mengerti. Apa lagi kalau bukan… zuriat.
“Kalau Syarif bawa kamu pergi makan di restoran mewah, jadi apa yang kamu balas untuk dia malam ni. Ada kamu sampaikan khabar gembira untuk dia. Berita kamu mengandung ke. Ada?”
Menunduk Ainul saat itu. Hatinya terguris agak dalam. Adakah isu anak akan terus menjadi punca perselisihan antara dia dan Nek Siah? Sungguh Ainul tidak menyangka begini jadinya hubungan baiknya dengan Nek Siah. Sejak dua menjak ini semakin menjadi-jadi kedinginan Nek Siah padanya. Ainul tidak buta untuk melihat. Dia sedar dirinya sudah semakin jatuh nilainya di mata Nek Siah hanya kerana dia gagal memberikan zuriat untuk Syarif Firdaus.
“Tiga tahun Ainul. Itu dah dikira cukup lama untuk seseorang tu bertahan. Kamu dah sia-siakan tiga tahun ni dengan kegagalan kamu menjadi isteri sempurna untuk Syarif.”
Sakit. Terhiris. Itu yang melanda hati Ainul saat mendengar kata-kata itu. Sudah tiada erti berlapik lagi apabila Nek Siah bercakap dengannya tentang soal anak. Segala kesalahan dijatuhkan hukumannya untuk Ainul seorang.
“Tiga tahun kahwin. Tiga kali gugur. Tiga kali kempunan nak timang anak. Apa ke malang nasib cucu aku.” Nek Siah menjeling sebal pada Ainul yang sedang duduk menekur ke lantai.
Andai tidak mengenangkan sayangnya masih bersisa untuk wanita ini, sudah ditunjal-tunjal kepala cucu menantunya ini. Geram dan bengang usah dikira. Kerana kelalaian Ainul, sekali lagi dia kehilangan bakal cicitnya kira-kira enam bulan yang lalu. Tak habis-habis Ainul dengan sikap lalainya. Sudahlah payah nak mengandung. Bila dah mengandung cuai sangat-sangat.
“Apalah nasib Syarif dapat isteri macam kamu ni, Ainul. Cuai, lalai… jaga kandungan sendiri pun tak reti. Kalaulah kamu tahu jaga diri, sekarang perut kamu tu dah membesar. Anak kamu tak lama lagi dah nak keluar dah. Tapi apa yang tinggal sekarang. Kamu langsung tak reti jaga diri. Betapa Tuhan tak redha kamu mengandung benih halal tu lagi, Ainul.”
Dum! Berdentum rasanya guruh di jiwa Ainul. Gelap seketika dunianya menerima hukuman seberat itu. Ya Allah, sampainya hati Nek Siah memberi hukuman cukup hina itu kepadanya.
“Apa… apa nenek merepek ni. Tak baik nenek cakap macam tu. Allah belum berkehendak, nek. Ainul tak boleh buat apa-apa.” Dirinya cuba dibela dan diselamatkan. Apabila berdepan dengan kebencian dan kemarahan Nek Siah, Ainul berasa amat sunyi dan ketakutan. Dia sendirian melawan wanita pertama yang paling disayangi oleh Syarif ini.
“Apa pulak aku merepek. Dah memang betul. Kalau Tuhan tu redha dengan kau, mesti Dia dah bagi zuriat dalam perut kau tu bertahan. Ini tidak, bila mengandung je mesti gugur. Semuanya sebab apa?” Nek Siah semakin menggila. Langsung telah hilang kewarasan bahkan lenyap terus rasa hormatnya pada Ainul. Yang ada cuma benci dan sakit hati.
Kepala sempat ditoleh ke belakang mencari kelibat Syarif. Yakin tiada siapa di situ, Nek Siah menyambung kata. Diluah kata-kata yang lebih merobek jiwa Ainul.
“Kamu mesti tahu sebab apa kan. Sebabnya…” Direndahkan badan. Dibisik kata-kata penuh penghinaan ke cuping telinga Ainul.
“…sebab rahim kamu tu pernah ada benih haram yang dah masuk. Sebab tu benih halal dah tak berguna nak melekat lama dalam tu.”
Bertitik-titik gugur akhirnya air mata Ainul ke pipi. Laju dia menyekanya. Ainul cuba ukir senyuman tabah. Tak. Nek Siah pasti tidak maksudkan sejauh itu. Kata-kata ini lahir pasti hanya kerana Nek Siah kecewa kerana masih tiada berita gembira yang Ainul hadiahkan untuk Nek Siah dan Syarif. Bukan kerana nenek kesayangannya itu sudah… membenci dirinya.
“Semakin hari semakin meluat pulak aku dengan kamu ni, Ainul,” ucap Nek Siah sambil gelengkan kepala.
Saat itu Tuhan saja yang tahu betapa hati Ainul sudah hancur lumat. Dia tidak pernah menyangka kebencian Nek Siah akan menjadi hadiah untuknya setelah dia ikhlaskan hati untuk melepaskan memori dukanya yang dulu itu. Adakah Tuhan kembali mahu menguji? Secepat ini keimanannya bakal diuji? Oh Tuhan, kuatkah aku? Hati kecil Ainul merintih ketakutan.
“Kalau tak mengenangkan betapa sayangnya Syarif pada kamu, dah lama aku suruh dia lepaskan kamu. Tak pun cari aje bini nombor dua. Bolehlah bagi anak dekat dia, cicit dekat aku.”
Nek Siah pandang jelek wajah Ainul. Dia sendiri tidak menyangka dirinya akan membenci Ainul sehingga seperti ini. Namun kesabarannya benar-benar sudah melayang pergi apabila selama tiga tahun ini hasratnya untuk mendapat cicit terbantut. Dek ceteknya iman, Nek Siah salahkan Ainul seratus peratus. Mulutnya semakin lancang untuk menghina wanita yang pernah menjadi kesayangannya itu.
“Kalau kamu sedar diri, bagilah peluang untuk Syarif kahwin lain. Jangan sampai aku yang bawa calon untuk dia. Kalau aku yang bawa calon, sah-sah aku bawa calon yang masih dara dan suci. Karang kamu jugak yang terasa hati.”
Melihat air mata Ainul gugur, timbul juga rasa kasihan pada hati Nek Siah. Namun tidaklah lama ia bertahan. Hatinya terus mengarah untuk dia membenci wanita itu dek kelemahan Ainul memberikan zuriat. Dahsyat sungguh momokan api benci yang hadir dari syaitan. Nek Siah tewas.
“Dahlah pergi naik sekarang. Jangan nak sedih-sedih, jangan nak nangis-nangis. Nenek tak nak Syarif tahu apa yang nenek cakapkan pada kamu ni. Ingat, Ainul. Kebencian dan kemarahan nenek ni jangan sampai ke pengetahuan Syarif. Nenek tak suka kamu mengadu, merengek-rengek depan dia.” Air muka Nek Siah tetap menayang kebencian untuk Ainul. Kata-katanya disambung lagi saat melihat Ainul terus membisu.
“Satu nasihat nenek. Mulai dari hari ni, seeloknya kamu sedar diri. Sedar yang kamu tu menumpang kasih sayang kami. Pandai-pandailah kamu usahakan untuk bagi nenek cicit dan bagi suami kamu anak. Zuriat dari darah daging kamu sendiri atau orang lain. Nenek tak kisah yang penting zuriat tu dari keturunan halal!”
Perkataan terakhir itu bergema kuat mengisi ruang dapur. Nek Siah terus berlalu pergi meninggalkan Ainul yang semakin hebat menitiskan air mata. Hatinya sudah koyak rabak. Untuk ke sekian kalinya, Nek Siah telah menghancurkan kegembiraan Ainul dengan kata-kata yang cukup dahsyat.
Tidak mahu Syarif nampak tangisannya ini, pantas Ainul membawa diri ke bilik air yang berada di tepi ruang dapur. Di dalam sana dia menangis semahunya. Sungguh Ainul tidak pernah menyangka dirinya bakal dibenci sebegini hebat oleh Nek Siah.
Terimbau kenangan lama pada saat awal pertemuannya dengan Nek Siah dulu. Betapa wanita tua itu amat menyukai dan mengalu-alukan dirinya dalam keluarga ini. Nek Siah langsung tidak pernah memandang rendah apatah lagi menghinanya.
Namun kini segala-galanya telah berubah. Nek Siah sudah mengisytiharkan Ainul sebagai musuhnya dalam diam. Ainul yakin, andai dia masih gagal untuk memberi apa yang Nek Siah mahukan, pasti akan bertambah hebat kecaman yang bakal dia dapat daripada wanita tua itu nanti.
Ainul perlu bersiap sedia dari segi mental dan fizikal. Paling utama dia perlu terus memaku sekemas-kemasnya kesabaran dalam jiwa. Inilah adat orang beriman. Pasti akan diuji.
Tidaklah seseorang itu benar-benar beriman selagi dia belum diuji. Allah SWT pasti mahu Ainul buktikan kepada-Nya apa yang sudah Ainul nekadkan pada Syarif sewaktu di jambatan tadi.
“Apa saja ujian yang bakal mendatang lepas ni, Insya-Allah Ainul akan kuat, bang. Sebab Ainul ada abang. Lebih penting Ainul ada Allah. Ainul kena bersungguh-sunguh percayakan Dia kan, abang. Percaya yang Dia takkan uji hamba-Nya lebih dari kemampuan yang mampu hamba-Nya tanggung.”
Sekarang kebencian Nek Siah terhadapnya merupakan satu ujian untuk Ainul hadap. Dia perlu yakin dan percaya bahawa ujian ini mampu dilaluinya. Cuma satu menjadi persoalan Ainul. Satu perkara yang menjadikan Ainul agak takut dan gelisah.
Adakah ujian ini akan menjadikan dia semakin kuat atau akan membawa dirinya ke lembah kehinaan itu untuk kali keduanya? Oh Tuhan, tidaklah Ainul mahu kembali memilih menamatkan riwayatnya sendiri. Itu tidak akan pernah menjadi pilihannya.
💖 💖 💖