Selasa, 28 April 2020

6 Panduan Berdakwah Kepada Rakan Bukan Islam

“Dakwah? Wajib ke aku buat. Aku bukan ustaz- ustazah pun.”
“Okay andai kata dakwah itu wajib, apa yang boleh saya lakukan?”
Banyak alasan-alasan tidak berdakwah seperti tak pandai, tak berilmu, tiada masa, bukan tugas saya dan banyak lagi. Betul ke, dakwah ni untuk golongan berpengetahuan agama je? Ke sebab aku kurang arif tentang teknik-teknik berdakwah?
Jadi mari kita kenal serba sedikit tentang dakwah dan peranan kita sebagai seorang muslim. Dakwah bermaksud seruan ke arah kebenaran , atau mengajak masuk Islam. Kata lawannya adalah dakyah iaitu menyuntik doktrin agama selain Islam.
Melalui kajian yang dilakukan oleh Hidayah Centre Foundation, seramai 61.3% penduduk Malaysia menganut agama Islam manakala selebihnya beragama Kristian, Buddha, Hindu, Bahai, Sikh, dan lain-lain. Hukum berdakwah kepada non-Muslim adalah wajib bagi setiap mukalaf yang telah baligh dan berakal sempurna. Isyarat itu jelas melalui firman Allah yang bermaksud :
“Wahai Rasul, sampaikanlah apa yang diturunkan Tuhanmu kepadamu. Jika tidak engkau tidak menyampaikan amanat-Nya.”(Al-Maaidah 5: 67)
Dakwah dibahagikan kepada banyak hal seperti dakwah secara personal, kepada masyarakat yang terdiri daripada jiran, majikan dan lain-lain, serta kepada golongan tertentu seperti golongan terpelajar. Terdapat 6 cara berdakwah kepada non-Muslim untuk dipraktikkan.

#1 – Dakwah Dengan Akhlak

Cara ini adalah cara yang paling mudah iaitu dengan menunjukkan akhlak molek dan terpuji. Sudah menjadi lumrah, manusia mudah terpikat akan sesuatu barang yang cantik, bermutu dan berharga seperti permata, berlian, dan emas. Begitu juga tanggapan non-Muslim yang mudah tertarik dengan tingkah laku orang Islam yang sopan santun, berbudi pekerti dan memiliki sifat-sifat berhikmah.
Allah SWT berfirman yang bermaksud :
“Serulah ke jalan Tuhan-Mu dengan Hikmah.”(an-Nahl 16: 125)
Praktik yang paling mudah adalah dengan berkongsi-kongsi juadah atau hadiah dengan jiran non-Muslim. Jika mereka penganut Buddha, hadiahkanlah sesuatu berwarna merah kerana bagi kepercayaan mereka merah membawa ‘ong’ atau keuntungan.
Rasullah SAW juga sangat memuliakan non-Muslim seperti pernah menyuap bubur kepada seorang Yahudi yang buta meskipun Yahudi tersebut sangat memusuhi baginda. Begitu juga kisah jiran beragama Nasrani yang sering membuat onar di depan rumah Nabi tetapi akhirnya memeluk Islam kerana tertarik akan akhlak baginda.

#2 – Dakwah Dengan Penulisan

Hidayah Allah SWT sangat luas dan hadir dalam pelbagai bentuk termasuk dalam bentuk penulisan. Mereka yang berminat dengan ajaran Islam dahagakan pendedahan tentang selok-belok tentang agama Islam. Justeru, kongsikanlah pada mereka penulisan-penulisan yang mengandungi hujah wahyu mahupun hujah logik akal.
Langkah terbaik adalah dengan memberi saranan agar mereka merujuk buku-buku karya Ahmad Deedat seperti Journey to Faith, atau tulisan-tulisan ilmiah pendakwah berpengaruh lain seperti Cat Steven, penyanyi rock yang berhijrah kerana tertarik akan kalimah Allah, Muhammad Ali peninju yang memeluk Islam dan terkenal dalam kalangan non-Muslim dan lain-lain.
Sarankanlah kepada non-Muslim agar mereka dapat belajar melalui penulisan-penulisan mereka yang telah berjaya memeluk Islam.
Nabi Muhammad SAW juga berdakwah kepada non-Muslim dengan menulis surat kepada penguasa-penguasa besar dan ahli kitab melalui para sahabatnya seperti Muhammad Ibnu Qasim di India, Saad Ibnu Waqqas di China, Amru Al-As di Benua Afrika dan Dihyah al-Kalbi kepada Heraclius ( Raja Romawi). Hasilnya Islam tersebar ke seluruh dunia hanya melalui penulisan baginda.

#3 – Dakwah Dengan Perkataan

Perkataan mencerminkan hati sanubari dan akal fikiran seseorang. Baik perkataan maka baiklah segala-galanya. Kita dituntut menjaga mulut dari mengeluarkan perkataan yang berbentuk celaan dan sensitif kepada agama-agama yang lain. Allah SWT berfirman :
“Janganlah kamu memaki tuhan-tuhan mereka kerana mereka mungkin kembali memaki Allah atas kejahilan.”(Al-An’am: 108
Dengan belajar latar belakang, pegangan, budaya, cara hidup, dan pantang larang dalam agama lain, kita akan lebih berhati-hati semasa berkata-kata. Contohnya perkataan ‘keling’ atau ‘paria’ sangat-sangatlah menghiris hati penganut Hindu.
Kesannya pasti mereka akan lari dari orang Islam. Begitu juga dengan panggilan ‘Cina kui’ dan perkataan kasar yang lain. Sebaliknya, win their hearts dengan perkataan yang baik-baik ketika berurusan dengan mereka di pasar-pasar mahupun di majlis-majlis.
Mempelajari bahasa Tamil dan Mandarin supaya dapat bertutur tentang Islam dalam bahasa tersebut adalah langkah lain yang dapat menarik minat mereka terhadap Islam. Dapatkah anda bayangkan betapa takjubnya mereka apabila kita fasih dalam bahasa mereka dan bercakap tentang agama Islam?

#4 – Dakwah Dengan Harta

Dakwah dengan harta kebiasaannya dilakukan oleh golongan kaya dan berkemampuan. Cara ini agak payah namun sekali dijalankan, ia berjaya menarik ramai golongan non-Muslim untuk memeluk agama Islam.
Saya pernah terbaca bagaimana pihak gereja sendiri mengagih-agihkan makanan dan bantuan kewangan kepada fakir miskin dan alangkah mulianya jika langkah ini diikuti pihak penguasa agama.
Saya juga ada terbaca tentang bagaimana pihak gereja memberi perlindungan kepada pengidap HIV muslim dengan menyediakan asrama dan bantuan ubat-ubatan tetapi akhirnya dikendalikan oleh Jabatan Agama Islam Selangor dengan bantuan duit zakat bantuan orang ramai. Jadi alangkah eloknya jika kita membantu juga non-Muslim yang mengalami masalah harta.
Firman Allah SWT:
“Perumpaan orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah ibarat sebiji benih yang menumbuhkan 7 tangkai ; pada setiap tangkai terdapat 100 biji.”(Al-Baqarah: 261)

#5 – Dakwah Dengan Sukarelawan

Berdakwah dengan sukarelawan pula melibatkan pertubuhan-pertubuhan besar dan ia dikategorikan sebagai dakwah dalam kelompok masyarakat. Melibatkan diri dalam street dakwah, menjadi sukarelawan kepada mangsa bencana adalah langkah terbaik dalam menyeru kebaikan kepada non-Muslim.
Sepanjang pengalaman saya, terlibat dalam aktiviti sukarelawan banjir di Kuala Kangsar, Perak memberi gambaran agar tidak prejudge dalam berdakwah. Terdapat juga penduduk yang bukan beragama Islam tetapi ia tetap menjadi tugas kita untuk membantu meringankan beban.
Rasulullah bersabda:
“Barangsiapa menyakiti kafir zimmi, maka aku (Rasulullah) akan menjadi lawannya di Hari Kiamat.”(HR. Muslim)

#6 – Dakwah Dengan Perbandingan Agama

Pendekatan yang terakhir adalah dengan berdialog kepada non-Muslim dalam forum mahupun program-program tertentu. Pendekatan ini kebiasaannya dikhususkan bagi ahli-ahli yang mahir dalam ilmu perbandingan agama.
Pengalaman sahabat saya sendiri, pelajar akidah dan agama ditugaskan membuat praktikal di tokong, kuil dan gereja, mereka perlu berdialog dengan sami-sami dan pendita-pendita untuk menjelaskan Tuhan yang sebenar.
Golongan ini berpendapat bahawa ada persamaan agama lain dengan Islam contohnya dalam kitab Hindu ada menyebut:
“Ekam Brahm, dvitiya naste neh na naste kinchan, Dustra nehi he, nehi, nehi jarabi nehi.”
yang bermaksud “Tuhan itu satu, bukan dua.”
Konsep ini ada dalam kitab suci Al-Quran yang bermaksud;
“Katakanlah, “Dialah Allah, Ya Maha Esa.”
Agama Hindu juga mempunyai persamaan dari segi moral dengan Islam seperti larangan meminum arak, berjudi, menilik nasib dan, meramal. Oleh itu, golongan yang menguasai bidang ilmu ini sebolehnya memanfaatkan potensi dirinya untuk berdakwah kepada golongan non-Muslim bak pepatah ahli Falsafah Hang Kung:
“ No peace among the nations without peace among the religions,
No peace among the religion without dialogue between the religions,
No dialogue between the religions without investigation of the foundations of the religions.”
Sebagai penutup, setiap individu bertanggungjawab berdakwah kepada non-Muslim. Kita takut bencana melanda apabila kita mengamalkan budaya bagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing.
Kesannya nanti berlaku dakyah-dakyah dan edaran-edaran yang mengelirukan sehingga orang Islam semakin berani menukar agama lain pula.
Mari berdakwah dengan kenali diri dan pendekatan yang sesuai untuk diri kita!

Catatan Terbaru Catatan Lama Laman utama