Kuala Lumpur: Keterbukaan komunikasi melalui media sosial hari ini, membuka lebih banyak ruang kepada perbahasan pendapat dan perbezaan pandangan mengenai pendekatan dakwah.
Ada pihak menyetujui ketegasan dalam menegur tindakan yang disifatkan sebagai melanggar batas agama, tetapi pada masa sama ada pula yang melihat pendekatan dakwah secara lembut lebih tolerasi, sekali gus tidak mengaibkan seseorang.
Pendakwah bebas, Halim Hafidz, berkata beliau melihat perlunya pendakwah memulakan pendekatan dakwah kepada masyarakat dengan cara berlembut.
Beliau mengibaratkan pendekatan lembut dalam berdakwah sama seperti pengendalian kereta manual, yang dimulakan dengan gear lebih rendah terlebih dahulu.
“Lihatlah suasana dan khalayak dakwah itu. Jika nampaknya pendekatan awal dengan cara berlembut tidak diendahkan, pendakwah boleh menggunakan pendekatan lebih tegas dengan menggiatkan gerakan menggunakan ‘gear’ lebih tinggi.
“Kita perlu melihat kembali pendekatan Rasulullah SAW, Baginda mendekati khalayaknya dengan cara lembut tetapi jangan lupa Baginda juga pernah berperang ketika berdakwah.
“Rasulullah SAW melihat terlebih dahulu situasi dan kelompok masyarakat dalam dakwahnya itu, sekali gus perlu dicontohi pendakwah hari ini,” katanya kepada BH.
Santuni bukan Islam
Halim berkongsi pengalaman manisnya dengan keluarga bukan Islam yang tergerak menghadiri majlis ilmu agama dan seterusnya memeluk Islam selepas disantuni dalam majlis ceramahnya.
Menurut Halim, keluarga bukan Islam itu mulanya sekadar mendengar dari jauh dan sebaik tamat ceramah, turut dilayan baik oleh penganjur sebagai bentuk teladan melayan orang bukan Islam.
“Sebaik tamat ceramah, keluarga bukan Islam ini mendekati saya dan memaklumkan mereka gemarkan pendekatan ceramah, serta perkongsian dakwah dalam majlis ilmu itu.
“Dalam tahun sama, saya dimaklumkan penganjur ceramah itu bahawa keluarga bukan Islam terbabit akhirnya mengucapkan kalimah syahadah, sekali gus antara kenangan manis yang sentiasa saya ingat dalam menjalankan kerja dakwah,” katanya.
Bagaimanapun, Halim juga pernah berjumpa seseorang yang mahu mendekati Islam, tetapi membatalkan niatnya selepas dihalau seorang imam masjid ketika mahu menumpang berdoa meminta diberi petunjuk dalam membuat keputusan.
Hamba Allah itu menurut Halim, pernah memeluk pelbagai agama sebelum mahu membuat keputusan mengenai agama ingin dianutinya, tetapi disebabkan kejadian itu beliau tidak jadi memeluk Islam, sebaliknya kembali kepada agama asalnya.
“Tidak berapa lama kemudian beliau ke Kazakhstan dan disantuni dengan begitu baik oleh imam di sana, yang membenarkannya duduk di dalam masjid dan individu itu memberitahu jika dahulu dibenarkan memasuki masjid mungkin hari ini beliau juga seorang Islam.
“Bagaimanapun, layanan buruk diterima menyebabkan beliau tidak dapat melihat keindahan Islam dan hingga kini, antara perkara menyedihkan untuk diingati.
“Jika salah pendekatan dalam berdakwah, ada ketikanya boleh menyebabkan mereka yang mahu mendekati Islam akhirnya menjauhkan diri kerana berasa tidak dialu-alukan,” katanya.
Menurut Halim, pendakwah perlu memilih kaedah dakwah yang betul, berdasarkan siapa khalayak yang didepaninya pada ketika itu.
Faktor peringkat umur khalayak dan latar sosial, kata Halim, antara aspek yang diambil kira dalam memastikan mereka yang didepani dapat merasakan ilmu disampaikan.
“Berdakwah dengan anak kecil atau pelajar sekolah tentu berbeza pendekatannya, berbanding kepada orang dewasa, golongan profesional atau sebaliknya, sekali gus menjadi pengetahuan perlu dikuasai pendakwah hari ini.
“Berdakwah dengan bukan Islam misalnya, tidak boleh dilakukan terus dengan memberikan ayat al-Quran, sebaliknya tunjukkan akhlak yang mulia dan santuni mereka sebaik-baiknya.
Kenal pasti golongan sasar
“Pendakwah perlu mengenali siapa yang ingin didakwah barulah dapat memilih pendekatan sebaiknya,” katanya.
Menurut Halim, secara umumnya, tiada syarat tertentu menjadi pendakwah seperti sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang mengucapkan kalimah syahadah maka dia ialah pendakwah.”
“Apa disebutkan Baginda jelas menunjukkan tiada syarat menjadi pendakwah, tetapi setiap apa dilakukan sekalipun perlu ikhlas kerana Allah SWT,” katanya.
Paling utama, dalam hal dakwah menurut Halim ialah seseorang perlu memiliki ilmu, kerana tanpanya bagaimana mahu menyampaikan dan menjawab persoalan masyarakat daripada persoalan akidah hingga fiqh.
“Pastikan kita mengenali dan mempunyai hubungan dengan kelompok yang mahu didakwah.
“Tanyakan khabar mereka dan berbaik-baiklah, jangan terus menyergah terutamanya kelompok tidak dikenali.
“Jangan mudah putus asa dalam menyampaikan dakwah. Dakwah bukan hanya untuk waktu tertentu sahaja, sebaliknya berlangsung secara berulang,” katanya.