Rabu, 2 Jun 2021

Kawan-kawan

1. Banggakan diri sendiri sahaja. Berhenti buat orang rasa kita penting, kita ini hebat, kita ini begitu begini. 


2. Terus bantu sesiapa sahaja atau apa sahaja. Itu adalah kebaikan.


3. Bersaing dengan diri sendiri, bukan dengan sesiapa. Jika dia lebih kaya, itu bukan tanda Allah sayangkan dia, kita tak tahu ujiannya bagaimana. Jika dia lebih miskin, sangat bagus kita bantu dia ikut kemampuan kita.


4. Berhenti melihat kelebihan orang lain. Lihat apa yang Allah dah beri kepada kita. Bersyukur buat kita rasa banyak dan rasa puas. Melihat orang lain buat hati penuh dengki dan iri. Elakkan!


5. Jika dipuji, hati-hati. Jika dihina, sabar dan terima. Telan sahaja apa ujian hari itu. Esok bangkit semula. Dipuji boleh makan diri, dihina biasanya boleh buat diri penting dan mahu berdiri lagi. 


6. Kebaikan kita hari ini adalah untuk kita bawa pergi bersama. Ingat itu. Buat baik kepada dia, pahala. Buat baik kepada sesiapa, pahala. Dan pahala itu jadi simpanan untuk mengadap Allah nanti. Bukan pujian yang menggunung untuk diangkat mengadap Allah.


7. Konsisten berbuat baik buat diri lega, puas dan tenang. Hidup hari ini untuk bawa kepada kehidupan dalam syurga. Hanya dengan berbuat baik kita dapat masuk syurga. Ingat itu. 


8. Sentiasa rasa banyak dosa itu perbuatan mulia. Berhenti rasa diri baik, berhenti rasa dah banyak buat kebaikan. Hati-hati dengan kejahatan dalam merasa diri baik. Akan mula fikir keburukan orang dan rasa diri lebih baik dari orang lain. 


Kawan-kawan,


Lihat berapa ramai yang dah pergi di kalangan kita semua. Adakah kita ingatkan mereka setiap hari? Tidak.


Adakah ia datang ke dalam ingatan kita sesekali? Iya. 


Beza pada waktu kita masih hidup, hari-hari kita mahu lihat dia di mana-mana media sosial. 


Apabila kita pergi nanti, kita dah tak bernilai lagi kepada sesiapa. Yang penting semasa hidup, buat baik sahaja. Itu adalah tanda kita fokus kepada diri sendiri apabila kita mati nanti.


Begitulah.

Catatan Terbaru Catatan Lama Laman utama